21-09-2007 10:32:21 PM
KUALA LUMPUR: Laporan dibuat kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berhubung dakwaan yang terkandung dalam surat tanpa nama yang diterima melalui pos, antara lain, membabitkan Ahmad Fairuz.
Laporan itu dibuat oleh Tunku Abdul Aziz, bekas penasihat khas kepada Setiausaha Agung PBB bagi etika dan bekas presiden Transparency International Malaysia.
Seorang lagi pengadu ialah Datuk Param Cumaraswamy, bekas pelapor khas PBB bagi Kebebasan Hakim dan bekas presiden Transparency International Malaysia.
Mereka bertemu timbalan ketua pengarah (I) BPR Datuk Abu Kassim Mohamed.
Bercakap pada sidang akhbar bersama-sama dengan Tunku Abdul Aziz, Param berkata beliau menulis surat kepada Ahmad Fairuz pada 20 Julai, memanjangkan salinan surat yang beliau terima dan menggesa Ketua Hakim Negara menyiasatnya tetapi oleh kerana tiada respons, memutuskan untuk melaporkannya kepada BPR.
Param juga berkata kandungan perbualan telefon yang dikatakan antara seorang peguam dan seorang hakim kanan dalam satu klip video yang didakwa cuba mempengaruhi pelantikan seorang hakim "mengesahkan kebimbangan yang dilahirkan banyak pihak di masa lalu mengenai bagaimana sistem kehakiman negara kita telah dimanipulasi oleh orang tertentu".
"Kami dengan itu menggesa Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya ditubuhkan satu tribunal untuk memecat Tun Ahmad Fairuz sebagai hakim bagi salah laku dan salah guna kuasa dan buat sementara waktu menggantungnya daripada tugas sebagai Ketua Hakim Negara," katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur berkata ia terkejut dan kesal dengan laporan bertajuk "CJ's appointment fixing caught on tape" dan video klip yang disiarkan media internet Malaysiakini.com dua hari lepas.
"Oleh itu, siasatan segera dan menyeluruh oleh polis dan BPR, terhadap protagonis dalam video itu dan semua orang yang dinamakan atau disebut serta semua perkara yang dibangkitkan dalamnya, diadakan," kata pengerusinya R. Ravindra Kumar dalam satu kenyataan.
Presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berkata klip video kontroversi itu mungkin menjadi satu-satunya agenda dalam mesyuarat tergempar majlis itu esok.
"Mesyuarat itu diadakan khusus untuk membincangkan klip video itu dan apakah tindakan yang bakal diambil oleh majlis itu dalam isu berkenaan," katanya.
Mesyuarat itu, pada awalnya dijadual diadakan hari ini, ditangguhkan ke esok bagi memastikan semua 36 anggota jawatankuasa dapat menghadirinya, katanya. BERNAMA
No comments:
Post a Comment